Saturday, May 13, 2006

Doa

Ya Allah, aku memohon daripadaMu
kenikmatan yang sempurna,
pemeliharaan yang berkekalan,
rahmat yang menyeluruh,
keampunan yang diterima,
kehidupan yang selesa,
umur yang bahagia,
kebaikan yang sempurna,
nikmat yang menyeluruh,
kemuliaan yang paling indah,
dan belas kasihan yang paling menghampirkan diriku denganMu.

Ya Allah,
rahmatilah kami,
dan janganlah memusuhi kami
Ya Allah,
matikanlah kami dalam keimanan.
sempurnakanlah harapan dan cita-cita kami,
kurniakanlah afiatMu kepada kami,
biarlah kepada rahmatMu kami kembali,
ampunilah dosa-dosa kami,
kurniakanlah kami kekuatan untuk memperbaiki diri kelemahan kami,
jadikanlah taqwa bekalan kami,
biarlah semua usaha kami dicurahkan ke jalanMu ya Allah,
hanya kepadaMu kami berserah dan bergantung harap.

Ya Allah,
tetapkanlah kami di atas jalan istiqamah,
lindungilah kami di dunia dari perkara yang mendatangkan penyesalan di akhirat,
ringankanlah bebanan kami,
kurniakanlah kami kehidupan orang-orang yang soleh.
hindarkanlah kami dari segala kejahatan,
jauhkanlah kami, ibu bapa kami dan guru-guru kami daripada azab neraka,

Dengan rahmatMu,
Wahai Yang Maha Perkasa dan Maha Pengampun,
Wahai Yang Maha Pemurah dan Maha Pelindung,
Wahai Yang Pengasih dan Maha Berkuasa,
Ya Allah...Ya Allah...Ya Rahim, Ya Arhamarrahimin,
Wahai Yang Maha Awal dan Yang Maha Akhir.
Wahai Yang Memiliki Kekuasaan Mutlak,
Wahai Yang Maha Pengasih Ke Atas Orang-orang Miskin,
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Tiada Tuhan Melainkan Engkau,
Maha Suci Engkau,
sesungguhnya aku tergolong dalam golongan orang yang zalim,
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.,
serta seluruh keluarga dan sahabat baginda.
Walhamdu lillahi rabbil'alamin...

Dipetik dari buku "Peringatan Imam Al-Ghazali" yang dialih bahasa oleh Nor Azam bin Abdullah.
Tajuk buku asal "Ayyuhal Walad" - oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a

Sunday, May 07, 2006

Erti Persahabatan

Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti....kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa' dia menerima alasan kita.

Waktu itu,terfikirkah kita tentang perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa....tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

* Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya?
* Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita?
* Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?
* Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?
* Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah ,agar tidak rebah?
* Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,di sebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Renungilah... terima kasih padamu sahabatku..maafkanlah diriku kerana selalu silap tafsir terhadap dirimu..

"Ya Rabb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah engkau beri petunjuk kepada kami."(Ali Imran : 250)

Untuk sahabat-sahabat yg selama ini bersama di saat senang, susah, suka dan duka...