Wednesday, August 16, 2006

Saya Sayang Islam memberitahu…..

assalamualaikum,



kepada sahabat2 yg belum lagi menandatangani
petisyen anjuran PEMBELA, pihak PEMBELA
masih membuka kempen tandatangan ini. Justeru
marilah kita sama-sama nyatakan SOKONGAN
atas dasar memastikan kedaulatan Islam tidak
tercabar dengan ingatan; KITA LAKUKAN INI
SEMUA DEMI ANAK CUCU KITA.



Untuk menyatakan sokongan kepada kempen ini,
anda boleh menghantar petisyen secara online
dengan klik di
http://myislamnetwork.net/portal/modules/liaise/



Islam digugat, kita berada di mana?

Islam dihina dan dipijak2, kita berada di mana?

Siapa yg harus membela Islam, jika bukan umat
Islam sendiri yg perlu membelanya?

Adakah berani kita mengaku bahawa kita adalah
Islam, jika di saat Islam dihina kita menyepikan
diri?

Kita meminggir diri dan hanya menjadi pemerhati
setia dari jauh, kerana takut kemungkinan
diri ’terkorban’.



Ayuh, sahabat2 ku.. bersama2lah kita tampil ke
hadapan demi membela Islam tercinta.

Kerana tidak mustahil, andai 10 tahun lagi kita
berjumpa sahabat yg kita ada sekarang, dia bukan
lagi seagama dgn kita. nauzubillah ..

Kerana tidak mustahil, 10 tahun nanti tidak akan
kelihatan lagi masjid2 di Malaysia ini.

kerana tidak mustahil, anak yang ditatang dan
dididik dgn sebaiknya oleh kita, tidak akan
mendoakan kesejahteraan utk roh kita, lantaran
tidak lagi seagama dengan kita.

Jika itu yg berlaku, jgn menuding jari menyalahkan
sesiapa.

Sebaliknya, salahkan lah diri kita sendiri...

Tuesday, August 01, 2006

Hakikat Bahagia

Malam dingin dengan sapaan angin membelai sekali-sekala. Saya renung wajahnya. Jelas sudah retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya, walaupun masih merah seperti dulu, tapi sudah ada riak-riak kedutan yang mula bertamu.

"Bang, bahagiakah kita?"
Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
"Bahagia itu di mana?" tanya saya semula.
Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
"Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama," kata saya.
Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang, soalan dan luahan....sukar dibezakan.

Dalam suram wajahnya saya renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara, namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi satu. Masih harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama menghiasi kamar pengantin. Tapi sekarang...jari-jari itu tidak sehalus dan semulus dulu. Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris keperitan. Pun seri wajahnya retak juga dipagut usia.

Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami...
" Apa perasaanmu?"
Dia senyum.
"Saya bahagia."
"Hari ini boleh jadi bahagia...tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui bersama. Berdoalah, sepertimana mukadimahnya, begitulah nanti natijahnya..."kata saya seakan berbisik. Senyum kami menguntum. Oh, alangkah indahnya ketengan yang dia berikan. Tetapi akhirnya ' mentari' kehidupan pun menyala petanda 'bulan' bermadu telah berakhir. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.

Dan hari demi hari terus berlalu. Musim panas mencantas waktu bagai embun dijilat suria. Putera dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi datang dan pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah. Roda kehidupan berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya senyum, suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka dan airmata. Anehnya, dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam, menikam...saya pedih. Namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga - itu kerana sayang. Pernah juga belaian dan manjanya melekakan...mujur hati sering diingatkan - dia adalah 'hadiah' Tuhan untuk saya. Masakan hadiah lebih besar daripada Pemberinya?

Kekadang kolek rumah tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah kesabaran masih mampu bertahan...pelayaran pun diteruskan.
"Bahagiakah kita?"
Soalan itu kembali mengusik rasa.
"Di mana bahagia itu? Di hujung atau di pangkalnya?"
Lalu saya temukan jawapannya...
"Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan...tetapi ia ada di sepanjang jalan."
"Bahagia itu apa?"
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan rasa. Mampukah?

"Bahagia itu ketenangan!" Kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
"Ketenangan itu apa?"
"Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian...sama sahaja."
"Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?"
"Ingat Allah...hati akan menjadi tenang."
Bertalu-talu monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama...terburai semuanya di malam ini - ditusuk sebuah pertanyaan: "Bang, bahagiakah kita?"

"Tanpa Tuhan, tiada ketenangan, Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan."
"Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita...kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA - Tuhan kita!"
"Bang, adakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?"
"Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu...apakah aku telah tenang?"
"Kenapa?"
"Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan..."
"Ah, semakin sukar pula mencari jawapan...semakin diselam, semakin dalam."

Malam kian larut di kolam buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri. Dia yang tidak pernah meninggalkan saya ketika apa pun jua. Ketika orang memuji, dia mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi saya itulah ketenangan yang dihadiahkannya...Walaupun mungkin itu hanya serpihan dari hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itu pun sudah memadai. Monolog hati saya terus bergema:

"Isteriku, apakah perjalanan kita ini masih panjang ataupun pendek...entahlah aku tidak pasti. Namun, selagi antara kau dan aku masih ada DIA - Tuhan kita...selama itulah kita akan tenang. Jika kau ingat,kaulah sumber ketenanganku. Jika aku ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita sama-sama mengingatiNya, maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita sama-sama lupa...musnahlah kita."

Lalu dalam suram kamar yang sederhana...saya sentuh tangannya. Walaupun tidak halus dan mulus seperti dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. Kali ini bukan rasa tahap rendah yang membara. Tapi rasa tahap tinggi yang menyala-nyala. Isteriku...kita bahagia!

Perlahan-lahan saya bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak "Jauh Itu Dekat" tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:

Kembali kita berjauhan
salam terpisah, senyum tertahan
rindu berbuah, sayang merendang
jauh-jauh begini...
menguji percintaan

Suaramu telus di langit kelabu
setiamu selimut dingin hujanku
arca bayang-bayang malam
sinar remang-remang siang
melukis setiamu di awan gemawan

Terpisah semakin indah
kian terlarut keruhan rasa
terimbau semula nostalgia lama
jari-jari merahmu
di malam pertama

Sayang...Jauh itu DEKAT!